CERPEN 6- PARTI MUSYAWARAH UMAT

Pak Mael masih kusut sejak tadi. Kopi yang diminum pun tak sepahit apa yang mengusutkan fikirannya itu. Dia benar-benar rasa suatu hal di Surau Ikhwan tadi menggoncang jiwa hingga terasa mahu luluh jantung, hati dan segala organ tubuh dalamannya. Bukan kerana dia tak setuju atau marah, tapi sebaliknya dia juga suka apa yang dibincang itu menjadi kenyataan cuma rasa sangat serba salah pada Parti politik yang dipangkahnya sejak 30 tahun dulu.

Pada Pak Mael, dunia politik ini, ahli politiklah lebih mengetahui. Malah dalam perbincangan tadi pun, Pak Mael tekankan bahawa dunia politik bukanlah semudah yang kita sangkakan. Ada banyak duri di jalanan, ada banyak pisau yang sedia menikam di belakang. Tapi, kata-kata budak muda yang pengerusikan mesyuarat tadi ada betulnya.

ADUN kawasan Merong itupun, bukannya berpengalaman mana. Baru balik dari Mesir dan aktif berdemo setahun dua, sudah jadi calon untuk memimpin kawasan Merong yang bukan tanah kelahirannya pun. Setahun menang kerusi ADUN, sibuk untuk menghentam parti musuh di Dewan Negeri. Tahun kedua, kononnya berjaya membongkar salah laku Perdana Menteri. Tahun ketiga, sibuk mempertahankan diri sebab tiada bukti pun atas dakwaan tahun yang lalu. Tahun keempat baru sibuk menziarahi penduduk, untuk dipilih sekali lagi dalam pilihanraya akan datang. Di mana Merong yang diamanahkan berada dalam hati si ADUN itu?

Menjadi ADUN tak sewajarnya menjadi tiket untuk meneruskan sengketa politik yang berlanjutan tanpa apa-apa kebaikan untuk rakyat. Memanglah dikatakan ada penyelewengan dan salahguna kuasa oleh satu lagi parti, tapi dakwaan pun tak sekukuhmana, bukti pun tidak ada, hanya sekadar sangka-sangkaan dan terus menuduh tahun demi tahun untuk minta rakyat percaya. Tidakkah suatu pembaziran masa dan tenaga, setiap masa hanya sibuk untuk meyakinkan dan minta orang ramai percaya atas tuduhan yang kita lemparkan kerana kita tak mampu kemukakan bukti sahih yang tak boleh disangkal lagi? Bagaimana membela nasib rakyat?

Datuk Rahim pun ada dalam perbincangan tadi. Dia sedekad lebih tua dari Pak Mael. Sambil dia menguatkan lagi bahawa kebanyakan ahli politik negara kita lebih banyak membazir masa dan tenaga ke arah mendapatkan "political mileage" sama ada untuk partinya menang dalam pilihanraya, atau untuk diri ahli politik itu sendiri naik dalam hirarki kepimpinan parti. Ada dibukanya cerita tadi, walaupun tak berapa spesifik, disentuhnya isu projek-projek mega yang terbengkalai dan tertangguh sambil kos makin meningkat tahun demi tahun di negara kita ini pun, satu bukti bahawa projek tadi diangkat atas kegelojohan mendapatkan "political mileage". Kononnya manfaat projek mahal tidak apa tertangguh lama, asalkan peluang pekerjaan terbuka luas. Tapi yang bekerja pekerja asing jua. Masih belum selesai juga masalah pengangguran rakyat sendiri.

Pak Mael menyelak-nyelak surat khabar di atas meja kopinya. Macam biasa, surat khabar Parti Atokau dan Bapakau masing-masing rancak mendedahkan perihal salah laku pemimpin parti musuh masing-masing. Parti Atokau menuduh Presiden Parti Bapakau melakukan jenayah seksual, Parti Bapakau pula menuduh Presiden Parti Atokau melakukan jenayah bunuh. Pak Mael langsung menepis semua helaian surat khabar itu ke tepi hingga jatuh ke lantai. Kusut memang kusut. Betullah kata budak muda pengerusi mesyuarat tadi, sudah tiba masanya kita meninggalkan politikus yang banyak berbicara soal masalah kepartian masing-masing kepada mengangkat wakil politik sendiri yang berbicara masalah sebenar rakyat, yang mesti disegerakan penyelesaiannya.

Sejak dulu, Pak Mael sudah biasa dengar ceramah dan ucapan dari mana-mana parti pun biasa bercakap mahu membela rakyat. Tapi di akhir-akhir kempen politik tentu sekali yang dipentingkan adalah mendedahkan keburukan parti musuh supaya rakyat yakin parti mereka tidak buruk. Soal janji membela rakyat, mana-mana parti pun menjamu dengan menu-menu gula-gula yang belum tentu menjanjikan kelangsungan pembelaan terhadap rakyat. Corak politik itu pasti terhenti, jika rakyat sendiri bermesyuarat akan masalah sesama mereka dan memilih wakil untuk diangkat sebagai pelaksana program dan aktiviti yang telah dimesyuaratkan. Politik pembelaan terhadap rakyat dengan cara musyawarah umat ini, lebih terfokus dan langsung tak terganggu dengan politiking dan kekotoran kempen dan kerakusan nafsu gelojoh politikus yang haru biru itu.

Pak Mael tekad dan nekad. Kekusutannya wajar dihenti terus, hatinya perlu berani, dan jiwanya perlu kental. Kopi dihabiskannya, dan terus keluar menemui budak muda pengerusi mesyuarat tadi.

"Saya sedia," kata Pak Mael sambil budak muda itu menggenggam bahu Pak Mael rapat.

"Moga Allah bantu dan berkati usaha kita, Pak Mael," kata si budak muda. Ada titis-titis air mata bertakung dan bergenang, lalu gugur mengalir perlahan ke pipinya itu.

Tak sampai sebulan gerakan Musyawarah Umat ini tersebar ke seluruh negara. Rakyat jelata sudah peka dan tahu bahawa nasib mereka tidak akan diubah oleh Allah selagi mereka tak ubah apa yang ada dalam diri mereka.Begitu juga nasib komuniti mereka tidak akan berubah selagi tak diubah apa yang ada dalam komuniti mereka. Yang paling tahu masalah dan kehendak mereka adalah mereka sendiri. Masa yang ada, betul-betul mereka gunakan untuk musyawarah, berbincang dari hati ke hati akan seluruh kesusahan dan keperitan hidup yang minta dibela.

Awal musyawarah dimulakan untuk membetulkan niat masing-masing agar kehendak dan impian masing-masing bukan sekadar untuk membantu diri sendiri dalam kesusahan, tapi seluruh masalah umat dari soal agama yang ditegakkan, pendidikan, sosial remaja, isu masyarakat setempat, hingga soal ekonomi komuniti untuk mencukupkan elemen hidup seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Sesi musyawarah berterus-terusan hingga 40 hari, setiap yang dibincang, direkod dalam banyak medium dan metod baik dari catatan peribadi hingga kepada video dan audio untuk disemak pada hari seterusnya jika kembali dibangkit isu lepas yang belum konkrit penyelesaiannya.

Hingga akhirnya dokumentasi perjalanan program dan aktiviti, struktur perlaksanaan, juga rancangan kecemasan yang dicatatkan tersedia seteliti mungkin. Pak Mael sendiri merasakan itulah manifesto pilihanraya paling meyakinkannya yang betul-betul terasa dekat di hatinya dan para penduduk setempat, berbeza bagai langit dan bumi dengan manifesto dan janji pilihanraya parti-parti politik dalam pilihanraya yang sudah. Pak Mael sujud syukur atas hasil muafakat ummah melalui musyawarah umat rupa-rupanya merupakan penyelesaian terhebat atas segala keraguan, ketidakpuasan, kesamaran yang dipaksa-paksa ditelan oleh parti politik pada rakyat dengan hanya satu justifikasi yang selalu digunakan, "Percaya sajalah, kerana kami adalah benar".

Apabila sudah sampai peringkat setiap kawasan di seluruh negara yang mengadakan musyawarah umat sudah memuktamadkan dokumentasi mesyuarat masing-masing, akhbar-akhbar parti politik sudah menunjukkan sindrom yang aneh sekali. Kalau dulu, apa yang disibukkan mereka adalah individu-individu parti musuh untuk diserang dan ditelanjangkan dalam kebanyakan tulisan, kali ini rakyat kebanyakan yang sudah bermesyuarat berbulan-bulan untuk merangka dokumentasi rancangan membela rakyat pula diserang. Namun hal itu hanya menggelikan hati Pak Mael saja.

Apa tidaknya, ada yang menggelarkan rakyat kebanyakan yang merupakan majoriti pengundi bagi setiap kawasan itu sebagai sebuah gerakan kepartian bawah tanah yang didalangi oleh seorang budak muda radikal yang disangsikan mentalnya. Sibuk mereka menggali latar belakang sang budak dan mendedahkan aib-aib yang ada dalam keluarga sang budak supaya rakyat kebanyakan yang sudah hampir mengakhiri mesyuarat sebelum pilihanraya berasa sangsi dengan musyawarah umat. Sungguh, parti politik itu semua tidak memahami konsep musyawarah umat. Ia bukan gerakan sebuah organisasi tunggal apatah lagi soal gerakan dipimpin oleh seorang individu. Ia adalah musyawarah umat yang menghimpun rakyat setempat, menyatukan fikir dan hati sesama rakyat yang bermesyuarat. Tidak ada yang menguasai gerakan ini melainkan rakyat setempat sendiri. Rakyat kebanyakan. Majoriti pengundi yang membimbangkan parti politik ini.

Pengundian berlangsung di hari yang ditetapkan, dan memang sudah terjangka, muafakat rakyat yang bermesyuarat akhirnya memperlihatkan setiap wakil yang dicalonkan oleh rakyat setempat menang mudah atas kerana yang bermesyuarat adalah majoriti rakyat yang sudah redha akan calon yang dipersetujui oleh musyawarah umat. Politikus-politikus terjelepok ditimpa kerusi empuk mereka sendiri. Akhirnya teori idam-idaman demokrasi bahawa "dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat" direalisasikan dan disempurnakan oleh musyawarah umat.

Wakil-wakil musyawarah umat sepakat untuk meneruskan konsep musyawarah yang membetulkan niat di awalnya, menyatukan fikir di dalamnya, dan mengeratkan tekad di akhirnya menjadi proses dasar-dasar setempat dan rancangan pembelaan rakyat dari musyawarah lepas dapat dilaksanakan. Lalu mereka tak segan silu bergotong royong laksana umum aktiviti rakyat dan masyarakat kebanyakan, membersih dan mencuci dewan parlimen lalu semua kerusi-kerusi empuk dalam dewan dihadiahkan pada setiap ahli parlimen lepas di kalangan politikus parti politik. Bukankah mereka berebut sejak dulu dalam PRU untuk duduk di kerusi itu. Ambillah dan duduklah sepuas hati kamu semua.

Mereka juga pergi menghadap Yang diPertuan Agung bersama raja-raja Melayu untuk berbincang akan sistem politik Musyawarah Umat menggantikan demokrasi berparlimen, atas kerana sistem Musyawarah Umat benar-benar memfokuskan pentadbiran berasaskan kepentingan rakyat dan mengurus negara secara yang amat telus, tulus dan mulus. Tiada lagi gosip politik yang mengotor minda, mendatangkan dosa, perpecahan, pembuangan dan pembaziran masa juga tenaga malah keamanan berteraskan musyawarah umat lebih terjamin berbanding demokrasi yang meraikan demonstrasi menunjuk perasaan sebagai ekspresi keterbukaan dan kebebasan.

Sedikit demi sedikit lalu akhirnya berbondong-bondong ahli parti politik menyertai jemaah masyarakat setempat dan umat kebanyakan, meninggalkan pemimpin-pemimpin politik yang masih terkedu-kedu mahu mengikat pengikut pada mereka. Suasana benar-benar berubah menjadikan kemesraan dan keharmonian masyarakat lebih berbunga harum semerbak menyebar ke seluruh alam. Kaum-kaum dzimmi yang dulunya sebahagian menyertai musyawarah umat untuk sama-sama mahu pembelaan, kini berjaya meyakinkan sebahagian mereka yang lain bahawa sistem dan proses musyawarah umat berteraskan Islam ini lebih menjamin kelangsungan hidup mereka berbanding idea demokrasi atau sosialis yang diimport dari pemikir barat.

Setiap suara didengari malah direkod untuk tatapan generasi masa hadapan.

Kini Pak Mael tidak lagi kusut, malah tidak kekok dalam membentangkan bagaimana revolusi politik negara kita dapat mengangkat keadilan dan keredhaan Allah yang dituntut oleh Islam kepada delegasi luar negara yang baru saja merevolusikan negara masing-masing dengan demonstrasi jalanan. Usaha dan gerakan musyawarah umat terus melebar dan dipraktik secara meluas di negara umat Islam disamping banyak lagi himpunan dan musyawarah terus diadakan dalam setiap segi bidang untuk manfaat umat seperti himpunan ulama, himpunan ekonomi, himpunan teknologi malah sudah terlaksana pun himpunan ketenteraan yang menggabungkan semua kekuatan tentera dari semua wilayah musyawarah umat.

Para pemikir barat mula membicarakan teori politik musyawarah umat mungkin akan menjadi ancaman buat pengaruh tamadun dunia yang sedang dikuasai oleh mereka. Presiden Amerika sendiri sudah tiga kali jatuh sakit atas rasa tertekan dengan perkembangan gerakan musyawarah umat yang menyatukan umat Islam bersama dengan dzimmi dalam membina tamadun baru dunia. Khilafah sudah mula diyakini untuk dijelmakan dan tidak lagi dikatakan suatu khayalan.

Namun, apabila Pak Mael balik saja ke kawasan Merong, sekerat-kerat manusia dari sisa politik lapuk dulu masih meracau berkempen di bawah pohon-pohon durian minta diundi parti mereka dan tolak Parti Musyawarah Umat. "Musyawarah Umat mana ada parti oii macam kome" kata Pak Mael sewaktu membeli durian Musang King di Merong semalam.


Tamat


(1683 patah perkataan)