CERPEN 10 - HARI INI KITA MERDEKA

HARI INI KITA MERDEKA
 
Waktu keinsafan itu menjelang tiba pada seluruh pelusuk hati-hati rakyat Malaysia bersama para pemimpin negara, para aktivis, para buruh dan ilmuwan, satu persatu butir kalimat mula terbit dari bibir-bibir mereka, “Hari ini kita MERDEKA.”
 
Apa tidaknya, dalam kelangsungan persidangan Dewan Rakyat beberapa minggu sudah, para ahli politik merintih-rintih menangis menginsafi, “kita tidak layak memimpin, kita semua hamba”. 
 
Berpeluk-peluk ahli parlimen sesama jantina memohon maaf atas kelancangan butir bicara selama ini. Mereka mahu serahkan hal-hal rakyat ini pada strategis yang punya hati nurani luhur.
 
“Kita tak mungkin elak daripada perselisihan, tapi apakah hal standard yang dapat kita rujuk sebagai sumber yang agung tanpa perubahan?”
 
“Allah” sahut sayu-sayu suara dewan.
 
“Kita serah pada Allah sahaja hal yang tak terbuktikan. Kita mungkin yakin pihak ini salah pihak ini betul. Tapi selagi perbicaraan di dunia gagal membuktikan, kita serah pada Allah sahaja. Bukankah Allah sebaik-baik pembalas dan penghukum?”
 
“Hentikan sahaja pilihanraya yang merosakkan. Berlawan cakap, kita tak ke mana. Berlawan retorik, kita semakin sesat. Berlawan, bertanding dan berlumbalah membuat kebajikan!!!”
 
Jeritan pekik rakyat menyokong seruan itu lalu bertempiaran rakyat berlari lintang pukang mengambil apa saja yang boleh dibuat cangkul. 
 
Rumput-rumput ditepi jalan dicangkul lalu ditanam benih buah-buahan.
 
Longkang-longkang diperdalamkan, dibuat aliran khusus ke kawasan takungan dan bukan lagi sungai. 
 
Sungai-sungai dikutip sampah-sampah yang berenang selama ini, ditapis sebaik mungkin dan dilepaskan anak-anak ikan yang banyak.
 
Pokok-pokok balak yang tumbang dan tanah merah yang mengalir ke sungai disekat. Dibuat empangan dan tapisan air dengan disusun batu-batu mineral di hulu dan tebing sungai. Air sungai mula jernih. Keladak-keladak mula ditapis dan diangkut keluar.
 
Ada perancangan sudah untuk kawasan yang dibalak dan kawasan yang ditanam semula balak. Sudah ada giliran. Sudah ada kiraan matematik digunakan. Sudah sistematik. Kita ambil hanya keperluan.
Penempatan tepi sungai mula diuruskan. Sisa buangan yang selama ini disalur ke sungai sudah ditakung untuk proses pembuatan baja organik. Tanah-tanah yang selama ini kering berbatu tak subur, dah semakin kelihatan hitam menggebu subur.
 
Cacing-cacing mula menari-nari ke dalam tanah, membina terowong-terowong kecil buat tanah bernafas segar.
 
Dari tanah yang segar, muncul rumput-rumput berkhasiat di tanah lapang yang dikhaskan. Ternakan-ternakan lembu kambing tidak lagi kurus-kurus bertulang tetapi sudah mula gemuk dan sihat.
Anak-anak makan daging yang sihat bersemangat untuk menabur khidmat bakti pada negara. 
 
Dijulang jala ke dalam kapal untuk pungut hasil laut yang banyak.
 
Di mana-mana kenduri kendara diadakan, bahkan jarang lagi orang menjual, tetapi semua mahu berkongsi rezeki yang dikurniakan Tuhan. Perut-perut orang kaya dan miskin sama-sama berisi sama kekenyangan.
 
Orang-orang gelandangan mula berkurang, ada sahaja rumah-rumah dibina di atas tanah-tanah bersama. Kita berkongsi sama susah, sama senang.
 
Para aktivis mula masuk ke setiap kampung dan pekan, mengajar ilmu langit dan bumi buat memberi pencerahan tujuan hidup buat semua, semua layak menyumbang.
 
Mula karya-karya seni bercambah meluahkan rasa diri akan syukur atas kurnia yang bertambah-tambah dan berlipat ganda. Tiada rasa mahu tamak haloba. Tiada rasa mahu mengaut harta dunia. Tiada rasa mahu berebut dan menikam sesiapa. Kita semua cukup. Kita semua kongsi sama-sama. Kita semua mahu rajin bekerja dan menyumbang sama.
 
Buah-buahan yang ditanam di tepi jalan mula menumbuh lebat, sesiapa sahaja boleh berteduh dan memakan hasilnya. Tak perlu rebut. Tak perlu marah-marah siapa yang punya. Tak perlu ejek-mengejek. Tak perlu plagiat. Tak perlu saman menyaman. Kita semua cukup. Kita semua aman dan gembira.
 
Yang bersedih memang ada. Tapi ada sahaja yang datang mendekat memujuk mengingati akan nikmat Allah mana lagi yang didustakan. Yang bersedih jadi kuat semula. Sama-sama memegang cangkul mengusahakan tanah-tanah kebun sayur di pinggir-pinggir bukit.
 
Gudang-gudang besar kapitalis mula menutup kedai. Satu, tiada lagi pelanggan kerana rakyat sudah mula berusaha dan berkongsi hasil makanan, pakaian dan tempat tinggal bersama. Dua, mereka tiada lagi pekerja.
 
Tiada lagi alat-alat manusia untuk diarah-arahkan. Tiada lagi hati-hati manusia untuk mereka ikat rezeki, cuti dan pergantungan. Tiada lagi orang-orang besar mahu mendabik dada. Semua berjalan perlahan ke tempat ibadat menunduk insaf menangisi dosa. Hati yang sombong selama ini, tak melihat yang berkuasa bukan kita tapi Allah semata-mata.
 
Para sultan dan raja sama mencangkul tanah nusa dan bangsa. Sama mengusaha makanan rakyat jelata. Sama rasa susah senang hati marhaen yang luka lara.
 
Kita, sudah merdeka. 
 
Hari ini kita merdeka.
 
Walau semua musuh mula menghentam, mencaci, menghina, mengejek-ejek cara hidup kita. Mereka kata kita ke belakang. Bank-bank yang ditutup diganti derma, sedekah dan wakaf itu mereka kecam membabi-buta.
 
Lalu mereka mengacukan senjata ke setiap kepala kita. Kerana kita tak dapat dijajah.
Hiburan mereka kita pijak sahaja. Tiket-tiket konsert itu sudah lama kita recycle buat jadi buku latihan belajar percuma.
 
Hari ini kita merdeka.
 
Biarpun mereka mengacu senjata.
 
Lalu, KEBABOMMMM!!!
 
Mati kita semua, merdeka menuju Tuhan.
 
Tak apa. mati kita merdeka. Bukan mati hina.
 
Tamat walau hanya cerita.
 
(769 patah perkataan)